Memaparkan catatan dengan label agung. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label agung. Papar semua catatan

Ahad, 22 September 2013

Wasiat Rasulullah SAW Kepada Abu Darda'

Dari Abu Darda' r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda kepadaku dengan sembilan perkara :
Janganlah engkau menyekutukan Allah dengan sesuatu, walaupun engkau dipotong atau dibakar
Janganlah sekali-kali engkau meninggalkan solat wajib yang lima waktu dengan sengaja karana barangsiapa yang meninggalkan solat secara sengaja akan dilepas dari jaminan Allah 
Jangan sekali-kali engkau minum khamar (arak), sesungguhnya khamar (arak) adalah kunci semua kejahatan
Taatlah kepada kedua orang tuamu, seandainya keduanya menyuruhmu mengeluarkan hartamu seluruhnya, maka keluarkanlah semua harta untuk keduanya
Jangan engkau bertentanagan dengan ululamri (pemimpin) walaupun memandang bahawa engkau lebih daripadanya
Janganlah engkau lari dari medan peperangan walaupun engkau binasa dan semua teman-temanmu lari
Infakkan kelebihan hartamu kepada keluargamu
Janganlah engkau membuang rotan dari keluargamu kerana sayang hendak memukulnya. Pukullah kerana mendidik, bukan kerana mendera
Berilah amaran kepada mereka supaya takut akan Allah
(Hadis Riwayat Bukhari, Ahmad, Ibnu Majah, Thabrani)

Petikan daripada Biografi Agung Rasulullah SAW nukilan Rusydi Ramli Al-Jauhari (2012) 

Jumaat, 13 September 2013

Rasulullah SAW Sebagai Ahli Politik

Dalam sebuah hadis diceritakan bahawa, "Tidak akan sia-sia bagi mereka yang bermesyuarat dan tidak akan kecewa bagi orang yang beristikharah." Rasulullah SAW amat mementingkan permesyuaratan sebagai contoh di dalam peperangan Uhud, Baginda mengadakan mesyuarat bersama anak-anak muda Madinah tentang strategi yang bakal mereka gunakan di dalam peperangan Uhud walaupun Rasuluallah SAW tahu akan implikasi berperang di luar kota Madinah namun tetap mengadakan mesyuarat bersama sahabat-sahabatnya. Rasulullah SAW juga akan menerima pandangan yang majoriti dalam melaksanakan setiap tindakan.

Ahad, 8 September 2013

Sifat Tawaduk Rasulullah SAW

Baginda SAW adalah seorang manusia yang paling tawaduk walaupun Baginda merupakan kekasih dan Nabi Allah SWT. Baginda juga tidak suka dipuji sebagaimana yang diceritakan oleh Sayidina Umar Al-Khattab didalam sebuah hadis :
Janganlah kamu memuji aku berlebih-lebihan seperti kaum Nasrani memuji Nabi Isa ibn Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah hamba Allah. Maka kami semua menyebut: Hamba Allah dan rasulNya. (Hadis Riwayat At-Tarmizi, Bukhari, Ahmad dan Abu Dawud)
Banyak hadis yang menceritakan tentang sifat tawaduk Nabi SAW antaranya :

  1. Nabi SAW yang akan pergi menemui orang yang berhajat kepadanya, bukan orang yang berhajat itu datang menemui Baginda SAW
  2.  Baginda SAW pernah memenuhi undangan seorang hamba, ketika itu Baginda hanya menunggang seekor keldai yang pelananya diperbuat daripada sabut
  3. Baginda SAW menunaikan ibadah haji hanya dengan menunggang unta yang pelananya sudah usang dan dilapik dengan baldu yang harganya tidak sampai empat dirham sebagaimana yang dicerita oleh Anas bin Malik
  4. Baginda SAW tidak akan menghampakan undangan walaupun makanan yang dihidangkan hanya roti dan lemak lembu yang sudah hampir basi
  5. Baginda SAW tidak suka para sahabat bangun bagi menghormatinya apabila Baginda mendatangi mereka. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa, "Tidak seorang pun yang lebih dicintai oleh para sahabat melainkan Rasulullah SAW. Tetapi bila Baginda datang, mereka tidak bangun kerana mereka mengetahui bahawa Baginda SAW tidak suka dihormati begitu."
  6. Baginda SAW adala manusia biasa, Baginda merendam pakaian, memerah susu kambing dan urusan peribadinya sendiri walaupun Bagnda mempunyai ramai isteri dan khadam (pembantu)



Dipetik daripada Biografi Agung Rasulullah SAW tulisan Rusydi Ramli Al-Jauhari (2012)

Sabtu, 24 Ogos 2013

Rasulullah SAW Sebagai Ahli Ekonomi

Rasulullah SAW seorang yang amanah dalam menjalankan perniagaan. Lihatlah bagaimana Baginda menguruskan barang-barang dagangan Khadijah binti Al-Khuwailid r.a. yang diniagakannya. Setiap dirham akan dihitung dan tidak pernah terlintas di fikirannya untuk pecah amanah dalam menjalankan perniagaan Khadijah. Baginda juga selalu menderma di dalam perniagaan. Ekonomi ialah perantaraan di antara bakhil dan membazir. Biasanya seseorang yang menjalankan perniagaan akan berlaku bakhil kepada pelanggannya dan tidak boleh berlebih kurang kepada mereka. Akan tetapi, mereka biasanya suka membazir dengan membelanjakan keuntungannya ke jalan yang tidak betul. Berbeza dengan Rasulullah SAW, apabila berniaga Baginda akan mendahulukan kebajikan daripada keuntungan. Baginda menanamkan sikap menderma di dalam perniagaan. Dengan sikap menderma inilah perniagaan yang dijalankan bertambah maju hasil keberkatan menderma, ini juga akan menyebabkan pelangggan senang dan suka berurus niaga dengan Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW adalah orang yang sangat jujur di dalam urusan jual beli. Baginda tidak akan melakukan penipuan di dalam timbangan, malah melebihkan barang yang dijualnya. Oleh kerana sikap  itulah dia dipercayai oleh sesiapa sahaja yang berurusan dengannya. Baginda SAW juga menolak riba kerana riba menindas orang lain dan juga telah mengharamkan oleh Allah SWT.


Rusydi Ramli Al-Jauhari Biografi Agung Rasulullah (2012)