Rabu, 30 Oktober 2013

Padah Maksiat

Bersikap warak dan meninggalkan sesuatu yang haram tidak merugikan umat Islam sedikit pun sebaliknya ia mendatangkan keuntungan. Hal ini disebabkan setiap sesuatu yang haramkan pasti mempunyai kemudaratannya. Dalam surah al-A'raf ayat 157 Allah menjelaskan, "Dan (Dia) menghalalkan bagi mereka segala yang baik serta mengharamkan bagi mereka segala yang keji."
Justeru rugilah mereka yang bergelumang dengan maksiat. Berhubung dengan ini, Nabi berkata, "Sesungguhnya Allah mengharamkan rezeki ke atas seseorang yang melakukan maksiat. Dan tidak ada sesuatu yang mampu menolak takdir melainkan doa dan tidak akan bertambah umur melainkan dengan melakukan kebaikan.." Hadis ini direkodkan oleh Ahmad, an-Nasai dan Ibn Majah.

Demikian juga keadaannya dengan kota atau negeri yang penduduk-penduduknya bergelumang dengan maksiat. Alah menimpakan bala serta menyempitkan pintu-pintu rezeki ke atas penduduk-penduduk itu. Berhubung dengan ini Allah menjelaskan dalam surah an_nahl ayat 112 yang bermaksud, "Dan Allah membuat satu perumpamaan dengan sebuah negeri yang dulunya aman lagi tenteram, rezeki datang secara mencurah-curah daripada segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat Allah. Kerana itu Allah menimpakan pakaian kelaparan dan ketakutan ke atas mereka disebabkan apa yang mereka lakukan."

Antara contoh yang dapat kita jadikan iktibar adalah kaum Lut di Kota Sodom. Nabi Lut diutus bagi menyampaikan risalah Allah kepada mereka. Namun mereka menolak dakwah Nabi Lut dan bergelumang dengan amalan seks bebas. Kesannya adalah Allah memusnahkan mereka dan kesan kehancuran kaum Lut ini ditemui di kawasan Laut Mati. Berhubung dengan ini, dalam surah Hud ayat 82 Allah menjelaskan, "Maka apabila datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang diatas ke bawah (yakni Kami balikkan) dan Kami hujani mereka dengan batu-batu daripada tanah yang terbakar secara bertubi-tubi."

Azab yang menyebabkan kota kaum Lut dibalikkan selari dengan kejadian gempa bumi dan azab berbentuk hujan batu tanah yang terbakar pula selari dengan kejadian letupan gunung berapi. Semasa mengkaji kesan kehancuran kaum Lut di kawasan Laut Mati, pakar arkeologi dari Jerman, Werner Keller mengesahkan kejadian kedua-dua malapetaka ini. Beliau berkata, "Kehancuran kaum Lut berlaku disebabkan oleh satu gempa bumi yang kuat diikuti dengan lettupan besar, kebakaran dan pengeluaran gas." hal ini dinyatakan oleh Harun Yahya di dalam Perished Nations.



Dr Danial Zainal Abidin Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains (2010)

Tiada ulasan: