Selasa, 8 Oktober 2013

Nabi Seorang Vegetarian ?

Mengikut The Vegetarian Resource Group, vegetarian ialah golongan yang tidak menjamah kesemua jenis daging haiwan termasuk ikan dan binatang ternakan. Golongan yang paling ekstrem daripada kalangan mereka juga tidak pernah menjamah ataupun memanfaatkan kesemua produk-produk berasas haian seperti susu, keju, telur, madu lebah, sutera, bulu dan kulit binatang. Daripada kalangan vegetarian terdapat juga kumpulan yang dikenali sebagai lacto-ovo vegetarian. Mereka memanfaatkan telur dan susu binatang.



Walaubagaimanapun yang jelas sekali adalah Nabi Muhammad SAW bukannya seorang vegetarian. Hal ini disebabkan Nabi menjamah daging dan susu haiwan walaupun pengambilannya tidaklah secara berlebihan. Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Amr bin Umayyah bahawa, "Beliau melihat Rasullullah memotong daging kambing untuk dimakan dengan menggunakan sebilah pisau. Apabila suara azan berkumandang Baginda berhenti dan terus bangun untuk melaksanakan solat."

Mengikut riwayat yang lain oleh Imam Muslim, Abu Hurairah berkata, "Nabi Muhammad menyuruh supaya susu kambing dibawa kepada Nabi dan selepas dibawa, Nabi meminum segelas daripadanya. Kemudian apabila Nabi diberikan gelas yang kedua Nabi tidak menghabiskannya dan berkata, "Orang Islam minum dengan satu perut, sedangkan yang kafir minum dengan tujuh perut."

Susu binatang asli yang tidak diproses, seperti yang diminum Nabi kaya dengan pelbagai khasiat. Mengikut Dr Joseph Mercola dan Rachael Droege dalam artikel The Real Reasons Why Raw Milk Is Becoming More Popular di Mercola.com susu asli mengandungi bakteria lactobacillus acidolphilus yang diperlukan badan. Disamping itu ia juga mengandungi vitamin, kalsium dan enzim-enzim pembunuh kuman seperti lactoferrin, xanthine, oxidase, lactoperoxidase, lysozyme dan nisin. Apabila proses pasteur (pasteurization) dilakukan, enzim-enzim ini, vitamin B12, B6 dan bakteria yang bermanfaat untuk badan musnah. Disamping itu, proses pasteur juga mengubah struktur protein yang terdapat dalam susu menjadikannya tidak berkhasiat. Susu yang diproses (pasteurised milk) dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit. Antaranya, cirit-birit, pendarahan perut dan usus, alahan, kerosakan gigi, radang sendi, penyakit jantung, kanser, barah sel darah putih (leukemia), kemandulan dan kencing manis.

Tambahan daripada itu, Nabi tidak pernah melarang umat Islam memakan daging. Berhubung dengan ini Imam Tirmizi melaporkan, Nabi berkata, "Gigitlah daging sedikit demi sedikit dengan gigi-gigi kamu. Cara ini lebih lazat dan lebih membantu penghadaman." Hadis ini bertaraf hasan.



Dr Danial Zainal Abidin Quran Saintifik:Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains (2010)

Tiada ulasan: