Peristiwa peralihan kiblat umat Islam daripada Baitulmaqdis kepada Kaabah di Makkah memberikan signifikan kepada maruah Islam dan penganutnya. Rasulullah SAW yang berasa tidak senang bersolat menghadap ke arah Baitulmaqdis masih melakukannya demi kepatuhannya kepada arahan Allah. Dalam masa yang sama, orang Yahudi mengeksploitasi isu ini untuk merendah-rendahkan agama Islam dan penganutnya, kononnya Islam adalah agama yang dicedok daripada agama Yahudi. Simbolik daripada situasi ini ialah umat Islam yang berkiblatkan orang bukan Islam dalam urusan hidupnya dipandang hina oleh mereka.
Kecenderungan sebahagian Muslim mengamalkan hidup ala Barat, berpakaian dan mendidik anak-anak seperti mereka malah mentadbir negara berasaskan sistem mereka, hanya menjadikan umat Islam dipandang rendah dan tidak bermaruah. Berdasarkan sebab penurunan ayat 150 dalam surah al-Baqarah, Rasulullah SAW yang tertekan dengan fitnah yang menimpa orang Islam ketika itu sering mendongakkan kepalanya ke langit dengan harapan Allah menurunkan arahan mengubah arah kiblat mereka pada waktu itu. Lalu Allah yang mendengar rintihan kekasihNya memenuhi kehendak Baginda.
"Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang mendongak ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang tela diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan." (Surah al-Baqarah ayat 144)
Kiblat bukan sekadar Kaabah. Kiblat yang kita hadap sekurang-kurangnya lima kali setiap hari dalam solat bukan sekadar jasad Kaabah yang tyerleta di Makkah. Di sebalik arahan menghadap ke arah kiblat ini adalah perintah Allah kepada hambaNya supaya hidup sepenuhnya berdasarkan kepada ajaranNya dan tidak menyekutukanNya dengan berpaling kepada makhluk lain yang lemah. Sebagaimana batal solat orang yang tidak menghadap kiblat, akidah juga batal apabila seorang itu berpaling daripada ajaran Allah dan segala perintahnya. Sekalipun mengaku Islam, masyarakat ini meletakkan sistem rekaan manusia lebih tinggi daripada ketetapan Allah malah memandangnya sebagai undang-undang kuno yang hanya relevan untuk masyarakat purba padang pasir. Ungkapan seperti "Undang-undang hudud kejam", "Kalau tidak ambil riba dan rasuah, perniagaan tidak akan berkembang" atau "Menutup aurat menindas wanita" sebenarnya telah membatalkan akidah penuturnya tanpa disedari.
Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif Ensiklopedia Solat (2011)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan