" Pendapat ini diperkukuhkan lagi oleh As-Syeikh Said Hawa di dalam Al-Asas fi al-Tafsir. Beliau berkata, "Maksud ayat ini adalah langit ini Allah jadikan dalam keadaan mengembang secara berterusan ataupun Allah jadikan ia luas. Ayat ini adalah ayat mukjizat berhubung kejadian alam. Ia juga menunjukkan ilmu Quran jauh ke hadapan, melampaui tempat, dan zaman. Justeru sekiranya ada sesiapa yang masih enggan beramal dengan Quran kerana sombong dengan sains yang dimilikinya, baik sekiranya dia menilai semula dirinya sebelum terlambat."
Satu di antara versi Big Bang yang diterima umum oleh pakar-pakar sains hari ini adalah konsep pengembangan alam. Mengikut teori ini, di peringkat awal selepas berlakunya letupan Big Bang, alam ini mengembang 10 kuasa 50 daripada saiznya yang asal dan selepas itu proses pengembangan ini menjadi perlahan sedikit berbanding sebelumnya. Teori ini pada asalnya diutarakan oleh seorang pakar kosmologi dari Amerika, Alan Guth dan kemudiannya diperkembangkan oleh pakar astronomi Amerika, Paul Steinhardt, pakar astronomi Britain, Andres Albrecht, dan pakar sains Rusia-Amerika, Andrei Linde. Hal ini dilaporkan di dalam Encarta Encyclopedia (CD) segmen Big Bang Theory, The Theory. Pada tahun 1929, tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, dengan menggunakan alat yang canggih, mengesahkan alam ini sedang mengembang. Beliau mendapati semakin jauh sesebuah galaksi itu daripada Bumi, semakin laju proses pengembangannya. Pada 9 Mei 1996, satu kenyataan akhbar dikeluarkan NASA berhubung dengan teori ini. Dua kumpulan pakar sains mengesahkan alam ini sememangnya sedang mengembang. Malah mereka hampir dapat menetukan kelajuan pengembangan alam ini. Kumpulan pertama yang dikenali sebagai pasukan The Hubble Space Telescope Key Project Team, dianggotai oleh 20 orang pakar astronomi. Kumpulan ini mendapati alam ini mengembang dengan kelajuan 80km sesaat semegapersaat (km/sec/Mpc). Kumpulan kedua pula mendapati pengembangannya berlaku dengan kelajuan 57km/sec/Mpc. Kenyataan ini dilaporkan di http://spacelink.nasa.gov di bawah tajuk Press Release No. STScl-PR96-21 (1996) Hubble Space Telescope on Track For Measuring The Expansion Rate of The Universe bertarikh 9 Mei 1996.
Pada hari ini dengan bantuan alat yang lebih canggih pemnemuan-penemuan semasa semakin memantapkan lagi teori pengembangan alam ini. Pada tanggal 16 Mac 2006, di bawah tajuk Astronomers Detect First Split-Second of the Universe, Space.com melaporkan pakar-pakar astronomi NASA menemui bukti-bukti baru yang mengukuhkan lagi teori Big Bang. Mereka mendapati pada peringkat awal kejadian kosmos alam ini adalah kecil daripada atom. Kemudian pada masa satu per setrillion saat ia mengembang sehingga menjadi kosmos yang luas. Penemuan ini dilaporkan berdasarkan data yang disalurkan oleh satelit NASA yang dilancarkan pada tahun 2001. Satelit ini dikenali sebagai Wilkinson Microwave Anisotropy Probe atau WMAP. Ia mengukuhkan teori alam mengembang sekaligus menampakkan kebenaran Quran.
Dipetik daripada Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains (2010) hasil tulisan Dr Danial Zainal Abidin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan