Isnin, 26 Ogos 2013

Pilihan Hati, Pilihan Allah

Walaupun manusia dikurniakan akal fikiran yang hebat, namun fitrah mereka menyebabkan mereka berasa ragu-ragu dengan pilihan yang telah dibuat. Mereka masih tidak pasti untuk untuk melakukakan sesuatu pekerjaan. Ini kerana manusia hanya mampu  merancang, sedangkan masa hadapan atau natijah suatu keputusan hanya ditentukan oleh Allah SWT.
Kerana itu Allah melalui lidah RasulNya yang mulkia membuka ruang untuk hamba-hambaNya memohon petunjuk dan panduan daripadaNya melalui dua rakaat solat Istikharah. Satu kesilapan apabila beristikharah untuk tujuan maksiat seperti untuk memilih suami yang diketahui seorang fasiq, membeli barangan yang diharamkan atau menggunakan kaedah bayaran yang haram adalah haram dan salah. Istikharah adalah manifestasi ketaatan dan adab sopan seseorang hamba terhadap Penciptanya. Dengan mengajukan permohonan kepada Allah sebelum melakukan sesuatu pekerjaan, seseorang hamba itu sebenarnya mempamerkan akhlak orang beriman, beramal soleh dan merendah diri di hadapan Allah yang menjadikannya. Hal ini berdasarkan hadis Jabir bin Abdullah r.a. yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW mengajar para sahabat Baginda melakukan solat Istikharah dalam segala urusan mereka, sebagaimana Baginda mengajar mereka satu surah al-Quran. Sabda Rasulullah SAW:
Jika ada sesiapa antara kamu yang bercita-cita untuk melakukan sesuatu, hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat kemudian membaca, "Ya Allah, saya memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan saya memohon ketetapan dan kepastian dengan kekuasaanMu. Saya memohon dengan kelebihanMu yang agung. Engkaulah yang berkuasa dan hambaMu ini tidak punya kuasa. Engkau mengetahui sedangkan hamabMu ini tidak. Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui perkara ini (lalu menyebutnya) adalah sesuatu yang baik untukkku dalam agamaku, kehidupanku dan akibat perbuatanku ini, atau ia baik untukku dalam masa terdekat atau masa hadapan, maka tetapkanlah ia untukku dan permudahkanlah ia untukku. Berkatilah diriku padanya kerana Engkau Maha Mengetahui (sebut seperti sebelum ini). Jika ia tidak baik untukku, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkan aku daripadanya. Tetapkanlah kebaikan itu kepadaku dimana sahaja kebaikan itu berada, dan redakanlah hatiku dengannya." (Riwayat Ibn Majah dalam Sunan Ibn Majah, kitab Mendirikan Solat dan Sunat-sunatnya: Bab tetang Solat Istikharah)


Dipetik daripada Ensiklopedia Solat: Kombinasi Fakta Hukum dan Sains tulisan Rohidzir Rais, Fuad Ismail & Mohd Wahid Abd Hanif (2011)

Tiada ulasan: