Kenyataan Quran manusia (iaitu Nabi Adam) berasal daripada tanah liat bukan suatu yang tidak masuk akal. Hal ini disebabkan pada hari ini penemuan sains menunjukkan permulaan kehidupan secara umumnya mungkin bermula daripada tanah liat. Pandangan ini, yang masih berbentuk hipotesis, pada asalnya diketengahkan oleh Dr A. Graham Cairns-Smith dari Universiti Glasgow pada tahun 1985. Pandangan beliau menarik perhatian beberapa orang saintis lain.
Pada tahun 2003, dalam satu artikel yang bertajuk Clay's Matchmaking Could Have Sparked Life, yang dilaporkan di Newscientist.com News Service (Online) bertarikh 23 Oktober 2003, dinyatakan dua komponen penting menjadi asas kepada permulaan kehidupan. Kedua-dua itu adalah kewujudan bahan genetik dan kewujudan selaput sel. Seterusnya laporan itu menyebutkan kedua-dua komponen ini mungkin bermula daripada tanah liat yang dikenali sebagai montmorillonite clay. Penemuan ini yang pada asalnya dilaporkan di dalam jurnal Science (volume 302 mukasurat 618), adalah hasil kajian Martin Hanczyc, Shelly Fujikawa dan Jack Szostak daripa Massachusetts General Hospital, Boston. Walaupun penemuan ini adalah satu penemuan yang baru da kajian mengenainya masih lagi berterusan, namun ia sedikit sebanyak menunjukkan tanah liat adalah salah satu ramua penting bagi kehidupan. Justeru mengaitkannya dengan kejadian manusia mempunyai asas daripada sudut sains. Sebahagian ulama, seperti Syeikh Said Hawa (di dalam al-Asas fi al-Tafsir) dan Hamka (di dalam Tafsir al-Azhar) mengaitkan tanah dalam ayat ini dengan khasiat yang diperlukan bagi kesuburan manusia. Tanpa khasiat melalui tanah yang diperoleh daripada tumbuh-tumbuhan, sayur-sayuran dan buah-buahan, benih manusia tidak matang sekaligus menyebabkan kemandulan. Khasiat daripada tanah penting kepada manusia sehinggakan pakar-pakar pemakanan di dunia hari ni sudah menetapkan setiap individu perlu mengambil lebih kurang 280 gram sayur-sayuran setiap hari secara berterusan bagi memelihara kesihatan. Dalam satu laporan yang dimuatkan dalam The Daily Californian yang bertarikh 28 Februari 2001, di bahagian Sci-Tech bertajuk Folate May Help Keep Sperm in Shape, Geen Vegetable Consumption May Increase Male Fertility, Decrease Childhood Cancer Risk in Offspring, menyatakan kaum lelaki memerlukan vitamin asid folik yang mencukupi bagi memastikan kesuburan sperma mereka pada tahap optimum. Dalam kajian ini pakar-pakar daripada Universiti California Berkeley mendapati pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang banyak tidak hanya mendatangka kebaikan kepada kesihatan malah ia juga meningkatkan kadar pengeluaran dan kualiti sperma kaum lelaki. Hal ini disebabkan sayur-sayuran dan buah-buahan kaya dengan asid folik. Penemuan ini dilaporkan secara rasmi dalam jurnal Fertility and Sterility pada bulan Februari 2001. Dalam satu laporan yang lain yang bertajuk Lifestyle and Dietary Recommendations for the Infertile Male, pakar-pakar daripada Jabatan Urologi Universiti Cornell menyatakan, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang banyak adalah penting terutamanya bagi lelaki yang mandul. Hal ini disebabkan dapat mengubah keadaan kesihatan mereka sekaligus membantu mereka menajdi subur. Maklumat ini dapat diperoleh di www.cornellurology.com. Justeru tanah tidak boleh dipisahkan daripada asal usul dan proses kejadian manusia kerana sayur-sayuran dan buah-buahan berasal daripada tanah.
Dr Danial Zainal Abidin Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains (2010)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan