Menjadi pendengar yang baik akan memudahkan komunikasi. Malah ramai manusia lebih gemar menjadi pendengar dari mereka yang mengeluarkan kata-kata. Ahli psikologi menyatakan orang yang dapat menumpukan pendengaran, sesungguhnya lebih bijak dari orang yang suka bercakap. Lebih bijak lagi apabila seseorang itu dapat menganalisa apa yang dia dengar. Maka berhati-hatilah bila anda berbicara dengan orang yang kerjayanya "menganalisa" fikiran orang seperti pakar psikiatri, para kaunselor, atau ahli psikologi. Mereka bukan sahaja menganalisa apa yang anda ucapkan tetapi menganalisa mengapa anda mengucapkannya. Mereka mungkin boleh mengenali personaliti anda melalui percakapan tadi.
Secara anatominya, telinga makhluk yang Allah ciptakan berbeza-beza. Rusa dan anjing mempunyai deria pendengaran yang lebih peka berbanding binatang lain dan dari telinga manusia. Anjing yang berlainan jenis kemampuan pendengaran juga berbeza. Manakala bayi manusia selepas usia 28 minggu di dalam rahim akan memberi respon pada bunyi persekitaran. Banyak kajian yang telah dijalankan dimana ada ahli psikologi menyatakan kecenderungan manusia lebih terhadap hiburan antaranya disebabkan semasa di dalam kandungan lagi ibunya sudah biasa dan suka mendengar hiburan muzik.
Seorang ibu di negara Timur Tengah ketika mengandungkan anak sulungnya, si ibu berulang-ulang kali membaca surah Yusuf yang terdapat 110 ayat itu. Dan apabila bayi bayi ini berusia 4 bulan, bayinya seolah-olah memberikan sepenuh perhatian apabila si ibu membaca surah yang sama. Begitu juga berlaku "keajaiban" yang sama kepada anak kedua dan ketiganya.
Bukanlah faktor kepekaan deria telinga yang ingin dibincangkan disini yang ada kaitan dengan khusyuk. Tetapi mendalami kaedah sebut dan dengar terhadap bacaan semasa solat, iaitu pada tumpuan pendengaran terhadap sebuutan bacaan sendiri dan mendengar sebutan bacaan imam yang membaca Al-Fatihah, mam bertakbir atau apabila imam membaca ayat al-Quran. Segelintir dari kita apabila membaca, mulut sekadar kumat-kamit dan tidak terdengar oleh telinga sendiri. Sedangkan kita tidak bisu ataupun pekak.
Dan jangan pula membaca dengan kuat sehingga mengganggu jemaah yang lain. Yang dimaksudkan disini ialah sebutlah setiap huruf dengan jelas secara konsisten bukan suara timbul tenggelam. Kaedah mendengar bacaan sendiri ini juga perlu kepada latihan. Berlatihlah semasa solat sunat. Inilah kelebihan seorang imam yang membaca dengan kuat dan pada masa yang sama mendengar bacaan sendiri. Manakala makmum pula memberi tumpuan mendengar bacaan imam dan untuk lebih khusyuk kita ikut membaca didalam hati apa yang imam baca.
Petikan daripada Biomekanik Solat: Kaedah Kemahiran Khusyuk Melalui Fitrah Biologi dan Satu Kaedah Terapi nukilan Dr Yusof Abbas (2007)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan