Pendapat Pertama
Tida disyariatkan solat apabila berlaku tanda-tanda kebesaran Allah SWT seperti ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya, melainkan gerhana matahari dan bulan. Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah melakukan solat untuk tanda-tanda kebesaran Allah SWT melainkan gerhana. Malah para khalifah dan sahabat lain juga tidak pernah melakukan walaupun kejadian-kejadian luar biasa berlaku pada zaman mereka. Pendapat ini dipegang oleh ulama Maliki.
Pendapat Kedua
Tidak disunatkan solat untuk sebarang tanda kebesaran Allah selain gempa bumi yang dahsyat dan berlanjutan. Ini berdasarkan perbuatan Ibn Abbas r.a. dalam riwayat Said bin Mansur dan al-Baihaqi. Bagaimanapun, mereka yang berpegang dengan pendapat ini mengatakan solat ini tidak sunat dilakukan secara berjemaah, sebaliknya bersendirian. Tatacara solatnya pula hendaklah sama seperti solat gerhana. Selain itu, mereka tidak mengharuskan solat apabila berlaku bencana lain seperti ribut taufan atau kegelapan pada waktu malam, kerana Rasulullah SAW dan para sahabatnya tidak pernah melakukannya. Sedangkan ketika zaman Baginda, bulan terbelah dua. Pendapat ini dipegang oleh ulama Hambali.
Pendapat Ketiga
Ulama Syafi'i dan Hanafi berpendapat solat dua rakaat dilakukan apabila berlaku bencana menakutkan yang menunjukkan kebesaran Allah SWT dengan meyamakannya (qias/analogi) dengan solat gerhana. Oleh itu, solat boleh dilakukan apabila berlaku gempa bumi, ribut taufan, letupan gunung berapi, salji tebal, hujan yang berlarutan atau ketakutan daripada ancaman musuh yang kejam. Ini kerana semua bencana ini juga tanda-tanda kebesaran Allah SWT seperti gerhana. Selain itu, mereka juga berhujah bahawa Ibn Abbas r.a. pernah melakukan solat sunat ketika berlaku gempa bumi di Basrah. Juga hadis Ali bin Abu Talib r.a. bhawa dia pernah melakukan solat bersama para sahabatnya di kota Madain sebagaimana yang dilakukan oleh Ibn Abbas r.a. ketika berhadapan dengan beberapa kebesaran Allah SWT. Pendapat ini juga dipegang oleh Imam Abu Hanifah, Ibn Hazm dan Ahmad (daripada salah satu pendapatnya). Bagaimanapun mereka berpendapat solat tersebut dilakukan sebanyak dua rakaat sebagaimana rakaat solat biasa, bukan seperti tatacara solat gerhana.
Dipetik dari Ensiklopedia Solat: Kombinasi Fakta Hukum dan Sains tulisan Rohidzir Rais, Fuad Ismail dan Mohd Wahid Abd Hanif (2011)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan