Jumaat, 20 September 2013

Indahnya Saat BersamaMu

Manusia yang berada diatas muka bumi ini tidak dijadikan tanpa tujuan atau secara kebetulan, sebagaimana dakwaan golongan anti penciptaan. Disebalik kesibukan manusia menjalankan tugas duniawi mereka sebagai perdana menteri, askar, peniaga, guru atau surirumah, sebenarnya tujuan sebenar penciptaan mereka adalah untuk beribadat kepada Pencipta mereka. Objektif ini dijelaskan dalam firmanNya:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan kerana mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. (Surah al-Dhariyat ayat 56-57)


Solat-solat fardu yang dikerjakan setiap hari sebenarnya masih tidak memadai untuk seorang hamba memenuhi objektif yang dinyatakan dalam ayat diatas. Islam memberi galakan kepada umatnya untuk melakukan ibadat tambahan untuk melengkapkan dan menyempurnakan lagi ibadat mereka. Qiamullail adalah satu ibadat yang sangat dituntut.
Apabila berlaku separuh malam atau sepertiganya, perintah Tuhan turu ke langit dunia. Lalu berserulah: Adakah orang yang memohon (berdoa), pasti akan Kukabulkan. Adakah orang yang meminta, pasti akan Kuberi dan dakah sesiapa yang memohon keampunan, pasti akan Kuampuni baginya samai tiba waktu subuh.(Riwayat Muslim)
Ulama kempat-empat mazhab utama, Syafi'i, Hanafi, Maliki, dan Hanbali sepakat menyatakan qiamullail ini disyariatkan berdasarkan Quran dan hadis Rasulullah SAW serta menjadi amalan al-salaf al-soleh.
Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat Tahajud  padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat ditempat yang terpuji. (Surah al-Isra ayat 79)
Malah qiamullail ini adalah ibadat yang wajib pada asalnya berdasarkan firman Allah dalam surah al-Muzzammil ayat kedua:
Bangunlah solat Tahajud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat)
Tetapi kewajipan ini kemudian telah dimansuhkan dengan turunnya ayat 20 surah yang sama. Firman Allah SWT:
Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (solat Tahajud) selama kkurang daripada dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan seama satu pertiganya, dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan daripada orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu ia  menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran (dalam solat balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalaNya). Dan mintalah ampun kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Muzzammil ayat 20)
Berdasarkan fakta ini jelaslah qiamullail adalah ibadat sunat yang sangat penting diamalkan oleh setiap hamba Muslim demi memenuhi manifesto mereka sebagai hamba Allah yang dijadikan semata-mata kerana menyembahNya.



Petikan dari Ensiklopedia Solat: Kombinasi Fakta Hukum dan Sains nukilan Rohidzir Rais, Fuad Ismail & Mohd Wahid Abd Hanif (2011) 

Tiada ulasan: